Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Majlis Resepsi Makan Malam raikan jemputan persidangan
21/06/2025

 


Dalam meraikan para ucaptama serta jemputan luar dan pembentang-pembentang bagi Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam 2025, Majlis Resepsi Makan Malam diadakan di Ruang Legar, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), malam tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof yang juga selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dibacakan oleh Imam Tingkat I, Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun, Awang Muhd. Arif bin Haji Johari disusuli dengan bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran oleh Mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Mohammad Syafiq bin Mohammad Suhardi, manakala Intisari Ayat dibacakan oleh Awang Muhammad Nur Nasrullah bin Abdullah Abdul Razak yang merupakan mahasiswa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam dalam ucapannya menjelaskan, kelancaran Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam 2025 bukan sahaja hasil daripada kerja keras ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Persidangan, tetapi juga didorong oleh sokongan yang tidak berbelah bahagi serta kerjasama erat daripada rakan-rakan strategi iaitu tiga institusi pengajian tinggi tempatan, Universiti Brunei Darussalam (UBD), UNISSA dan KUPU SB, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran persidangan tersebut.

Beliau berharap kejayaan bersama dalam menganjurkan acara penting seperti persidangan tersebut akan menjadi pendorong kepada UBD, UNISSA dan KUPU SB untuk terus memberikan sokongan yang berterusan serta menggalakkan lagi kerjasama erat dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan fungsi dan peranan BKISHHB.

Majlis diteruskan dengan penyampaian plak dan sijil kepada pembentang dan moderator bagi Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam 2025 disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam yang bertemakan 'Manuskrip Islam: Jambatan Antara Masa Lalu Dan Masa Depan' ini diadakan bermula 21 hingga 24 Jun 2025.

Ia juga diadakan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei Mid-Year Conference and Exhibition 2025 - Brunei MYCE 2025).

Antara objektif Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam diadakan adalah untuk memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan manuskrip Islam sebagai jambatan yang menghubungkan warisan intelektual dan budaya dari masa lalu dengan masa hadapan umat Islam.

Turut hadir di majlis tersebut ialah ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto